Islam dan Turki, Keserasiannya Tidak Akan Hilang!

  • Aug 11th, 2010
  • 1 note
  • tweet this
  • Ramadan Mubarak!!!

    Assalamualaikum.

    Saya menulis diketika menunggu pengakhiran bulan Sya’ban dan kedatangan bulan Ramadan. Bulan yang sungguh tinggi nilainya disisi Allah S.W.T. Sungguh menarik menunggu berita kemunculan anak bulan kerana disini (Manchester, UK) tidak ada pihak yang diberikan tanggunjawab oleh kerajaan untuk menentukan tarikh permulaan Ramadan atau tarikh-tarikh penting lain. Terasa rindu dengan susana mendengar pengistiharan puasa oleh Penyampai Mohor Besar Raja-Raja yang saban tahun saya dengar sejak kecil.

    Seminggu yang lepas saya ke Istanbul bagi menghadiri program yang dianjurkan oleh Hayrat Foundation, salah sebuah organisasi yang bekerja keras bagi mempertahankan Islam dibumi Turki. Istanbul sungguh istimewa. Keistimewaannya tidak dapat dinikmati oleh bandar-bandar lain lebih-lebih lagi ianya disebut oleh insan yang sangat kita cintai 1400 tahun dahulu. Rasulullah S.A.W. bersabda: 

    Sesungguhnya Konstantinopel itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, sebaik-baik tentera adalah tenteranya

    - Hadith  

    Hadis ini menjadi sumber inspirasi, motivasi dan semangat umat Islam untuk membebaskan Kota Constantinople (Istanbul) dari Empayar Byzantine. 13 hari disana, saya berkesempatan melihat Turki dari sudut yang berbeza. Empat tahun dahulu pada tahun 2006, saya melawat bumi Turki atas niat untuk melancung. Empat tahun dahulu, saya melihat Turki seperti apa yang dihajatkan Mustafa Kamal Atarturk. Empat tahun dahulu saya merasakan Mustafa Kamal Atarturk telah berjaya membunuh Islam dibumi Turki. Empat tahun dahulu saya pulang ke Malaysia dengan satu perasaan yang pilu dan sedih kerana keagungan Islam itu telah hilang dari bumi Turki.

    Tetapi Allah Maha Berkuasa. Disaat Islam itu dirobek dan dihina, Allah menghantar hamba-hambaNya yang soleh untuk mempertahankan agamaNya. Salah seorang daripadanya ialah Ustaz Badiuzzaman Said Nursi. Daripada hasil tulisan dan kajian beliau lahirlah Risale-Nur, sebuah tafsir Quran yang begitu indah, begitu hebat sehingga menyerlahkan kehebatan Allah yang Esa.Beliau pernah dijemput oleh kabinet Ataturk untuk membantu mereka. Walaupun pada awalnya beliau bersetuju, tetapi beliau mengubah fikiran apabila melihat pentadbiran Ataturk yang membelakangi Islam. Beliau menegur Ataturk dan kabinetnya dengan berkata “Tiada kebaikan yang boleh aku harapkan dari golongan yang meninggalkan solat!”. Akibat penentangan beliau terhadap penghinaan pentadbiran Ataturk kepada Islam, beliau dipenjara dan dibuang negeri. 

    Itulah dia pengorbanan hamba Allah yang soleh. Yang berjuang demi menegakkan agama Allah S.W.T. 86 tahun sudah berlalu sejak kejatuhan Khalifah terakhir. Usaha pengacuan sekularisma terhadap bumi Turki nampak seperti berhasil. Alhamdulillah kunjungan kali ini saya diketemukan dengan wajah Turki yang berbeza. Wajah yang tersenyum kerana disinari cahaya Islam. Lawatan kali ini membuka mata saya dan membuatkan saya terfikir:

    “Sesungguhnya Ataturk tidak berjaya menghapuskan Islam dibumi bertuah ini. Disebalik serangan si Ataturk itu dengan menukar huruf-huruf Arab Turki kepada latin, disebalik pengharaman bertudung dan Azan dalam bahasa Arab, sebenarnya Ataturk telah gagal!”

    Pun begitu, kesan sekular tinggalan Atarturk sungguh tebal dan kukuh. Sekukuh tembok Byzantine yang sukar dirobohkan. Tetapi sejarah tidak pernah berbohong. Sejarah menunjukkan, sekukuh-kukuh tembok Byzantine itu akhirnya dirobohkan juga oleh insan terpilih iaitu Sultan Muhammad Al-Fatih. Masanya akan tiba bagi Islam merobohkan tembok-tembok sekularisma Ataturk. Peninggalan perjuangan Said Nursi tidak berhenti selepas pemergian beliau. Usaha dan perjuangan itu masih diteruskan oleh insan-insan yang sedar tentang kebenaran. Mereka inilah yang sempat saya jumpa dan berkenalan.

    Mereka inilah anak-anak muda yang bakal merubah wajah Turki. Ketinggian budi perkerti dan ramah mereka membuatkan saya rapat dan senang dengan mereka. Seperti sudah lama kami kenal. Mungkin inilah semangat persaudaraan sesama Islam yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Semangat mereka membuatkan saya terasa kerdil. Keikhlasan mereka memperjuangkan Islam membuatkan saya tertanya-tanya “Apakah sumbangan aku terhadap Islam?” lebih-lebih lagi kebanyakan mereka ini jauh lebih muda daripada saya. Itulah dia Islam yang diajar Rasulullah. Islam tidak pernah mengenal usia. Saidina Ali menggantikan Rasulullah ditempat tidur baginda ketika diusia remaja. Sultan Muhammad Al-Fatih membuka Konstantinopel ketika berumur 21 tahun. Itulah dia kehebatan generasi muda. Kehebatan yang ditutup oleh golongan yang tamakkan kuasa. Tetapi sekali lagi, sejarah tidak pernah berbohong.

    Empat tahun dahulu saya pulang ke Malaysia dengan hati yang sedih. Sedih dengan kehilangan Islam dibumi Turki. Sedih melihat gelagat kehidupan sekularis dikalangan penduduk Turki.Tetapi seminggu yang lalu, saya pulang dengan hati yang gembira. Gembira melihat Islam itu masih bernafas dengan lajunya dibumi Turki. Islam itu masih ada harapan untuk kembali gemilang dibumi bertuah itu. Islam itu dan Turki, keakraban dan keserasiannya tidak akan hilang!

    Wassalam

    Zulfadhli

    blog comments powered by Disqus